fbpx

Terimalah Luka Sedalam Apapun Ia — Farhah Anuar

silhouette photo of woman

… untuk sembuh dari luka yang lalu, segalanya perlu bermula dengan menerima apa yang telah terjadi tanpa menyalahkan sesiapa pun dan tanpa ‘tapi’.

Farhah anuar

Pernah tak ada perkara yang membuatkan kamu terluka? Mungkin ketika kamu masih kecil atau ketika sekarang ini, kamu pernah terluka kerana kata-kata dan perbuatan orang tuamu, atau mungkin oleh teman-temanmu dan atau mungkin orang sekelilingmu.

Entah mungkin itu semua dilakukan secara sengaja atau tidak, tetapi jelasnya kamu merasa terluka dengan semua itu. 

Disebabkan itu, kamu mula menjauh dengan mereka. Mula memasang pagar yang berduri dan tembok yang tinggi.

Kamu sanggup melakukan apa sahaja untuk memastikan kamu tidak merasa terluka lagi. Inilah yang dipanggil sebagai ‘boundaries’ atau jarak yang kamu sendiri cipta untuk melindungi diri kamu daripada terluka lagi.

Tetapi kamu terlupa untuk melakukan satu lagi perkara selain mencipta jarak, iaitu menerima luka tersebut kemudian menikmatinya secara perlahan-lahan.

Saya percaya yang langkah pertama untuk kita sembuh adalah bermula dengan kita belajar untuk menerima luka tersebut tanpa ‘tapi’.

“Aku tahu aku yang salah tapi dia sepatutnya..”

“Aku dah buat yang terbaik untuk dia tapi…”

“Aku boleh maafkan tapi..”

Sebenarnya kan, semua bentuk ayat ini akan lebih memberatkan langkah kita untuk terus sembuh. 

Kerana apa? Kerana kita sedang membentuk sebuah alasan yang bermula dengan perkataan ‘tapi’. 

Dan akhirnya kita tidak mampu menerima lalu memaafkan, kerana kita sedang sibuk untuk menyalahkan secara berterusan. 

Jadi apa yang kita kena buat? 

Selitan: Dapatkan buku sulung Farhah Anuar, seorang pejuang PTSD, di sini

Mudah. Kita perlu menggantikan ‘tapi’ dengan ‘sebab’.

“Benda ini terjadi sebab aku yang salah dalam hal ini”

“Aku belum berjaya lagi sebab belum waktunya”

“Aku memaafkan sebab aku pilih untuk tenang”

Kamu boleh faham, kan?

Bahawa untuk sembuh dari luka yang lalu, segalanya perlu bermula dengan menerima apa yang telah terjadi tanpa menyalahkan sesiapa pun dan tanpa ‘tapi’.

Nanti barulah kita akan boleh menikmati luka tersebut dengan cara yang sederhana dan tidak terburu-buru. 

Bukan ke kesedapan kopi akan dirasai jika kita menghirupnya secara perlahan. 

Jadi, begitulah dengan luka.

Tidak perlu terburu-buru dalam merawat luka yang ada. Memberi masa kepada diri adalah hal yang dituntut dalam jalan sembuh ini. 

Agar satu-satu luka yang ada dapat disembuhkan dengan betul dan matang lalu usai tanpa ada lagi yang tersisa.

Kerana sembuh itu bukan terletak pada cepat atau lambat, tetapi pada apa yang kita boleh perbuat dalam merawat.

Dan antara jalannya adalah dengan duduk sebentar dan memberi masa kepada luka itu untuk berlalu dengan tanpa memaksa ia untuk segera pergi. 

Dalam merawat luka itu nantilah kita akan belajar banyak perkara dan lebih memahami apa kelebihan dan kekurangan dalam diri lalu kita bisa tumbuh dengannya.

Untuk kamu, semoga terus kuat dan salam sembuh.

— Farhah Anuar.